Pembela Anak Melayu Tenang

Pembela Anak Melayu Tenang

Thursday 21 April 2011

KESAN BURUK SEKS REMAJA

KESEKSUALAN remaja menjadi antara isu hangat yang dibincangkan masyarakat kita dari semasa ke semasa.
Berikut saya bentangkan dua kisah berkaitan seks remaja dan kesan buruk yang telah menjejas kesihatan remaja-remaja yang terlibat.

KISAH DUA REMAJA LELAKI
Minggu lalu saya telah merawat dua remaja lelaki Melayu yang menghidap jangkitan kelamin akibat kegiatan seks rambang tanpa perlindungan dengan seorang wanita.Salah satu kesan buruk seks remaja ialah penyakit kelamin.Kedua-dua sahabat ini telah mengunjungi Batam di Indonesia dan kedua-duanya telah mengadakan hubungan seks dengan seorang pekerja seks di sana.

Sekembalinya dari percutian di Batam itu, mereka telah mengalami kesakitan ketika membuang air kecil. Berikutan itu, mereka mengesan ada pengaliran nanah dan keputihan yang berbau dari alat kelamin mereka.Setelah diperiksa, kedua-dua remaja lelaki ini didapati menghidap jangkitan gonorrhoea pada alat kelamin mereka dan jangkitan di bahagian saluran dan pundi kencing akibat hubungan seks dengan seorang wanita yang dijangkiti penyakit kelamin.

Mereka telah dirawat dengan suntikan dan ubat-ubatan antibiotik untuk menghapuskan jangkitan ini.Mudah-mudahan kedua-dua remaja lelaki ini dapat dirawat sepenuhnya dan bebas daripada kesan jangka panjang akibat jangkitan kelamin.Lebih dari ini, mudah-mudahan kedua-dua remaja lelaki ini dapat mempelajari daripada peristiwa pahit dan menyakitkan ini, lantas berasa insaf dan bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan bodoh itu.




KISAH REMAJA PEREMPUAN
Bulan lalu, saya mengendalikan kehamilan seorang remaja perempuan Melayu yang terlanjur dengan kegiatan seks rambang dengan teman lelakinya.

Salah satu kesan buruk seks remaja ialah kehamilan luar nikah.
Remaja ini kelihatan gelisah kerana tidak dapat menerima keadaannya yang hamil dengan teman lelakinya yang sudah memutuskan hubungan dengannya.
Beliau turut bimbang jika kehamilannya akan diketahui ibu bapanya.Untuk menutup malu dan kesilapannya, remaja ini telah mengambil keputusan mudah untuk menjalani pengguguran dengan secepat mungkin.

Beliau berasa agak lega apabila mendapat tahu bahawa beliau boleh menjalani pembedahan pengguguran tanpa keizinan dan pengetahuan ibu bapanya.Setelah diperiksa, saya kurang pasti sama ada remaja ini berasa lebih lega apabila diberitakan bahawa kandungannya sudah tidak bernyawa dan beliau telah mengalami keguguran.Perasaan lega ini lebih jelas lagi dengan berita bahawa pembedahan untuk mengeluarkan kandungan dan membersihkan rahimnya tidak perlu dijalankan kerana kegugurannya telah berlaku pada tahap awal kehamilan.Saya hanya mengharapkan setelah mengharungi peristiwa pahit ini, walaupun berkesudahan tanpa pengguguran, mudah-mudahan remaja perempuan ini turut berasa insaf dan bertekad untuk tidak mengulangi keterlanjuran ini.




PENCEGAHAN
Bagi setiap keadaan atau penyakit yang boleh membawa padah, langkah pencegahan adalah jauh lebih baik daripada usaha mendapatkan rawatan.Dalam strategi untuk mengawal dan membendung penularan penyakit, langkah-langkah pencegahan boleh dibahagikan kepada tiga tahap.Kesan-kesan buruk seksualiti remaja turut boleh dicegah mengikut tiga tahap.



Pencegahan tahap pertama:
Yang pertama dan utama, langkah pencegahan berkaitan seks remaja ialah menjauhkan diri sama sekali daripadanya dan langsung tidak melibatkan diri dalam kegiatan itu.
Pencegahan tahap pertama ini relevan dari sudut pengajaran Islam dan adalah yang paling efektif dan berkesan.Bebaskan diri anda atau anak-anak remaja anda daripada sebarang kegiatan seks remaja yang boleh berkesudahan dengan kehamilan luar nikah, jangkitan kelamin dan pengguguran.Ibu bapa dan guru-guru sekolah memainkan peranan amat penting dalam usaha membimbing remaja berkaitan isu-isu seks.

Pencegahan tahap kedua:
Jika sudah melibatkan diri dengan kegiatan seks remaja, langkah pencegahan seterusnya ialah mengelakkan diri daripada terlibat dengan masalah-masalah kesihatan dan sosial yang berkaitan dengan seksualiti remaja.

Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil adalah seperti menggunakan kondom untuk mengurangkan risiko menghidap jangkitan kelamin atau mengambil pil perancang keluarga untuk melindungi diri dari kehamilan.Pencegahan tahap kedua ini hanya sesuai untuk remaja bukan Islam. Ingatlah, Islam tidak membenarkan kegiatan seks di luar nikah walaupun dengan perlindungan daripada kehamilan dan jangkitan kelamin.

Pencegahan tahap ketiga:
Bagi remaja yang sudah terlanjur dan hamil akibat kegiatan seks tanpa perlindungan, untuk mengelak daripada melahirkan bayi luar nikah dan masalah-masalah sosial yang berkaitan dengan kesusahan membesarkan anak dalam peringkat usia muda remaja, langkah pencegahan tahap ketiga yang boleh dipertimbangkan ialah menjalani pengguguran.

Bagi remaja yang dijangkiti penyakit kelamin disebabkan kegiatan seks rambang pula, langkah pencegahan tahap ketiga ialah segera mendapatkan rawatan berkesan supaya penyakit yang dihidapi tidak memudaratkan dan menyebabkan kesan buruk jangka panjang seperti kemandulan dan kerosakan sistem reproduktif.Pencegahan tahap ketiga ini kurang sesuai untuk remaja Islam.

Setahu saya, Islam tidak membenarkan pengguguran atas dasar keterlanjuran melalui kegiatan seks rambang dan seks luar nikah, melainkan atas beberapa sebab seperti jika kehamilan itu boleh membahayakan keadaan kesihatan ibu, atau bayi dalam kandungan itu mengalami kecacatan serius yang akan berkesudahan dengan kematian.

No comments: